Kenyataan Rasmi BKASM Menjawab Fitnah Yang Dikeluarkan Oleh ISMA-Mesir.

Dengan nama Allah, Rabbul Kaabah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para kerabat baginda, para sahabat dan mereka yang mengikut dan meneruskan perjuangan baginda SAW hingga hari kiamat.


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangka yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. [Al-Hujuraat: 12, Al-Quranul Karim].

Demikian falsafah yang diturunkan oleh Allah SWT di dalam mendidik manusia agar menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab di dalam setiap patah perkataan yang diucapkan. Malah Allah SWT juga mengungkapkan satu lagi garis panduan di dalam penuturan sebagaimana yang dirakamkan di dalam surah Al-Hujuraat;



Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum menyesali apa yang telah kamu lakukan. [Al-Hujuraat: 6, Al-Quranul Karim].

Setelah meneliti hasil tulisan “Kenyataan Rasmi Penglibatan ISMA-Mesir dalam FEKSAS 09” di dalam web rasmi ISMA-Mesir, pihak BKASM melahirkan rasa kecewa di atas kenyataan tidak cermat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkenaan yang mengaitkan Festival ASEAN ada kaitannya dengan BKASM. Kenyataan yang dikeluarkan oleh ISMA-Mesir seperti yang tertera di bawah;

“Festival Asean ini adalah anjuran Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Mesir.Antara persatuan-persatuan pelajar yang turut serta ialah, PERUBATAN, Institut Qura’ Malaysia Mesir (IQRAM), Badan-badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) seperti Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah dan SELANGOR dan sebuah syarikat anak Melayu, 3a Enterprise.”

adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan boleh menjejaskan nama baik BKASM di mata mahasiswa dan Kerajaan Negeri Selangor lebih-lebih lagi apabila Festival ASEAN tersebut menghidangkan hiburan tidak syar’ie yang boleh merendahkan martabat golongan ulama’ keluaran Al-Azhar, Mesir.

Pihak BKASM juga kecewa kerana nama BKASM diseret secara tidak bertanggungjawab oleh pihak-pihak yang menganjurkan festival tersebut kerana jika dilihat sekali imbas perkataan “Persatuan Mahasiswa di Mesir” menunjukkan semua persatuan mahasiswa di Mesir terlibat secara langsung di dalam menjayakan festival tersebut sedangkan secara realitinya BKASM tidak ada hubungan di dalamnya.


Dengan ini, pihak BKASM berpendirian agar ISMA-Mesir dapat mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada pihak BKASM dan menasihatkan agar pihak ISMA-Mesir lebih bertanggungjawab dan lebih amanah di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana pepatah melayu ada menyebutkan “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa” dan “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Yang Menjalankan Amanah,

t.t________________

(Abdul Aziz Akhimullah Bin Roslan)

Yang di Pertua,

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM),

Sesi 2008/2009.

sumber bkasm.org



Kenyataan Rasmi ISMA-Mesir Berkenaan Penglibatan ISMA-Mesir dalam Festival Kebudayaan Dan Sukan ASEAN 2009.

Oleh: Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puja dan puji dirafa’kan kepada Zat Allah s.w.t yang Maha Suci, Tuhan yang menguasai segala alam maya dan yang Maha Tahu tentang apa yang disembunyikan oleh hamba-hambanya di dalam hati-hati mereka.Tuhan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana dalam menetapkan hukuman buat hamba-hamba-Nya yang melakukan dosa.

Selawat dan salam ke atas junjungan kekasih, Rasul penutup risalah, Muhammad s.a.w juga kepada ahli keluarga baginda s.a.w, para sahabat baginda s.a.w serta kepada mereka yang berpegang-teguh dengan manhaj dakwah baginda s.a.w yang bertunjangkan hujah dan dalil-dalil yang jelas serta bersulamkan hikmah dan akhlaq yang tinggi dalam penyampaiaan mesej dakwah. Jauh daripada segala prasangka buruk sesama muslim, budaya permusuhan serta unsur-unsur yang tidak adil dan tidak amanah dalam menyampaikan khabar dan berita.

Ini adalah kenyataan rasmi Persatuan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-Mesir) berkenaan penglibatan kami dalam Festival Kebudayaan dan Sukan Asean 2009 (FEKSAS 09) serta penjelasan terhadap beberapa isu kontroversi yang dikaitkan terus dengan nama ISMA-Mesir sebagai pihak yang terlibat sama dalam membenarkan acara tersebut oleh beberapa indidvidu di Mesir di blog peribadi mereka.

Penglibatan ISMA-Mesir

Festival Asean ini adalah anjuran Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Mesir.Antara persatuan-persatuan pelajar yang turut serta ialah, PERUBATAN, Institut Qura’ Malaysia Mesir (IQRAM), Badan-badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) seperti Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah dan Selangor dan sebuah syarikat anak Melayu, 3a Enterprise.

Penglibatan ISMA-Mesir dalam jawatankuasa penganjuran Festival Asean kali ini adalah atas kapasiti kami sebagai salah sebuah persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Ini adalah kali pertama kami terlibat dalam penganjuran majlis yang mega seperti Festival Asean ini yang bersifat antarabangsa.

ISMA-Mesir diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan acara pertandingan nasyid yang melibatkan penyertaan dari dalam negara juga dari negara-negara Asean yang lain seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Tujuan utama ISMA-Mesir melibatkan diri dalam Festival Asean ini adalah untuk mengambil peluang membantu mempromosi imej Negara di peringkat antarabangsa, juga melatih ahli-ahli dalam kemahiran berkomunikasi dan mewujudkan medium dialog dan ruang kerjasama dengan badan-badan lain serta berkenalan dengan komuniti pelajar dari Negara-negara Asean yang lain.

Sebagai sebuah persatuan yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam gerak kerja persatuan, ISMA-Mesir sentiasa berusaha untuk memastikan segala perkara yang berlaku sepanjang penganjuran Festival ini adalah menepati kehendak syariat dan Islam. Kami sentiasa menyuarakan pandangan-pandangan kami terhadap perkara ini dalam mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa penganjur program.

Isu dan kontroversi yang berlaku serta tuduhan terhadap ISMA-Mesir

Antara isu dan kontroversi yang timbul sepanjang Festival Asean ini yang turut memberi kesan terhadap imej program ialah:

1. Tarikh program yang tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan tarikh peperiksaan akhir tahun.

2. Isu percampuran jantina berlainan jenis (ikhtilat) di ruang legar gerai jualan dan bazar kerana boleh membuka ruang kepada perbuatan yang tidak syarie di antara pengunjung siswa dan siswi juga berkaitan sensitiviti komuniti pelajar Azhari.

3. Kontroversi pada Konsert majlis penutup iaitu adegan tarian sekumpulan penari perempuan di atas pentas persembahan di hadapan khayalak secara umum.

Dalam edisi kontroversi kali ini, ISMA-Mesir dituduh sebagai turut bersetuju dengan acara tarian tersebut dan membenarkannya ianya berlaku.

Apabila dirujuk kepada sumber asal di blog peribadi penulis-penulis tersebut, jelas mengandungi unsur bias, tidak amanah dan tidak adil dalam mereka menanggapi isu ini kepada umum. Ini berdasarkan hujah-hujah tersebut:

1. Dalam blog saudara Hairul Nizam Mat Husain, mantan Presiden PMRAM sesi 2007, beliau hanya menyebut nama ISMA dan Kelab UMNO secara tepat dan tidak menyebut nama persatuan-persatuan lain yang turut menganjurkan Festival ini seperti PERUBATAN, IQRAM dan BKAN yang lain.

Seharusnya beliau lebih adil dan amanah dalam melaporkan sesuatu dengan menyebut sekali nama-nama persatuan lain, di mana dalam mesyuarat jawatankuasa penganjur program, beberapa individu pimpinan BKAN yang berada di bawah naungan PMRAM juga turut hadir.

Kami berpandangan apabila membaca penulisan beliau, seolah-olah umum akan memahami dan membuat tanggapan bahawa ISMA-Mesir mempunyai peranan utama bersama dengan Kelab UMNO dalam membenarkan acara tersebut berlaku, sedangkan ia tidak sebegitu.

Untuk makluman semua, Kelab UMNO sendiri tidak terlibat sebagai organisasi dalam Jawatankuasa penganjur program. Sekiranya ada pihak yang mengenali individu tertentu yang merupakan ahli Kelab UMNO dalam Jawatankuasa penganjur, adalah tidak tepat untuk menilai penglibatan seseorang individu dengan menggunakan istilah sebuah badan atau organisasi.

Sedangkan ada juga ahli PMRAM yang turut menjadi Jawatankuasa penganjur, tetapi adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa PMRAM terlibat sebagai penganjur. Begitulah juga kesnya dengan penglibatan ahli Kelab UMNO tersebut dalam situasi ini.

ISMA-Mesir ingin mempersoalkan, apakah tujuan beliau yang hanya memilih untuk menyebut nama-nama persatuan tertentu sahaja tanpa yang lain dan meminta beliau menyelidik terlebih dahulu maklumat tentang badan dan organisasi yang terlibat dalam jawatankuasa penganjur sebelum menulis kepada umum.

2. Beliau juga mempersoalkan ISMA kerana tidak membuat sebarang kenyataan rasmi membantah dan menyatakan kekesalan dengan kejadian tersebut.

ISMA-Mesir sekali lagi ingin mempersoalkan tujuan beliau menggunakan perkataan ‘tidak’ yang boleh membawa maksud seolah-olah ISMA-Mesir bersetuju dan membenarkan kejadian ini.

Tindakan kurang cermat seperti ini hanya akan menimbulkan spekulasi dan tidak membawa kepada cara penyelesaian yang sebenar. Dalam ilmu syariah, adalah tidak wajar untuk mengadili mana-mana pihak tanpa mendengar hujah mereka terlebih dahulu.

Sewajarnya, cara yang terbaik ialah dengan beliau bertanya terus dan mendapatkan maklumat serta pandangan daripada pimpinan ISMA-Mesir dan memberi peluang kepada kami untuk menyatakan pandangan sebelum mengeluarkan penulisan seperti itu.

3. Dalam blog saudara Mohd Rasul Amat, mantan Naib Presiden PMRAM sesi 2008, beliau mengaitkan nama persatuan ABIM dan JIM turut terlibat dalam membenarkan acara yang beliau namakan dengan ‘ tarian joget’ itu sedangkan kedua-dua persatuan tersebut langsung tidak terlibat dalam penganjuran Festival Asean kali ini. Bahkan, JIM sendiri tidak wujud sebagai sebuah organisasi di Republik Arab Mesir.

Seharusnya beliau lebih berhati-hati dan beretika dalam menulis iaitu dengan menyemak sumber maklumat yang sahih dan benar terlebih dahulu sebelum menulis secara umum.

Islam mengajar kita agar menyampaikan maklumat yang betul dan tepat serta bersikap rasional, bukan spekulasi yang mempunyai sentimen tertentu dan memukul-rata semua pihak-pihak lain termasuk yang tidak ada kaitan dengan Festival ini.

4. Beliau juga, menyatakan bahawa acara tersebut turut ditonton oleh TYT Dato’ Duta, sedangkan umum yang hadir pada majlis konsert tersebut sudah maklum bahawa TYT Dato’ tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar.

Sekali lagi, ISMA-Mesir menasihati beliau agar lebih amanah dan adil dalam melaporkan sesuatu kejadian.Jika beliau tidak hadir pada acara tersebut, sebaiknya beliau bertanya dan mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan beliau yang turut hadir.

Penjelasan ISMA-Mesir

ISMA-Mesir sentiasa mengambil pendekatan yang cermat, tenang dan berhati-hati serta melihat situasi secara menyeluruh tanpa sebarang sikap gopoh dan menuduh mana-mana pihak tanpa usul periksa.

Sebarang isu yang bersifat kontroversi harus ditanggani dengan cermat dan berhati-hati untuk mengelakkan salah faham dan spekulasi liar oleh pihak-pihak yang tidak melakukan penelitian maklumat kejadian dan merujuk kepada sumber yang sepatutnya mengambil kesempatan menyampaikan berita yang tidak tepat.

Kita semua ingin mencari jalan penyelesaian terbaik dan ia hanya akan dapat dicapai dengan cara kita memberi peluang kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan hujah dan pandangan mereka.Setelah itu, barulah adil untuk masyarakat umum membuat penilaian mereka berdasarkan rasional dan hujah bukan berdasarkan laungan atau teriakan emosi semata-mata.

Untuk makluman, ISMA-Mesir telah mendapat makluman awal tentang ‘acara tarian’ tersebut iaitu pada hari kejadian lagi.Namun, kami menunggu hingga ke tarikh 17hb April 2009 iaitu tarikh mesyuarat post-mortem Festival untuk mendengar terlebih dahulu secara rasmi penjelasan kontroversi ini daripada pihak Jawatankuasa penganjur sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Pihak jawatankuasa telah menjelaskan tentang kejadian ‘acara tarian’ tersebut seperti berikut:

1. Acara pada malam konsert penutup sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam setiap mesyuarat Jawatankuasa penganjur ialah persembahan nasyid oleh saudara Bazli UNIC, Kumpulan Dai Nada serta Johan pertandingan Nasyid, persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Warisan Pemuda Johor dan negara-negara Asean.

2. Kumpulan persembahan tarian tersebut ialah daripada pelajar-pelajar Sekolah Antarabangsa Indonesia di Kaherah.

3. Pihak yang bertanggungjawab menjemput kumpulan persembahan tersebut hanya memaklumkan secara umum permintaan untuk menyediakan satu persembahan kebudayaan tradisional kepada pihak sekolah tersebut tanpa meletakkan garis panduan tertentu.

4. Kesemua ahli Jawatankuasa penganjur Festival tidak tahu menahu langsung tentang persembahan acara tarian oleh kumpulan persembahan tersebut kecuali pada saat mereka telah naik ke atas pentas.

5. Pihak Jawatankuasa penganjur Festival diketuai oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah sendiri, Prof Madya Dr. Jamil Hashim telah mengakui insiden tersebut adalah disebabkan kelemahan daripada sudut pemantauan dan memberi jaminan dan berjanji untuk lebih teliti dalam memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

6. Jelas insiden yang berlaku bukan termasuk dalam kehendak Jawatankuasa penganjur dan mereka tidak pernah berniat untuk merancang acara tarian tersebut.Ia adalah satu kelemahan daripada pihak penganjur yang akhirnya acara tersebut tidak dapat diubah pada saat itu seterusnya menimbulkan rasa kekesalan atas apa yang terjadi.

Pendirian ISMA-Mesir

ISMA-Mesir dengan penuh rasa insaf dan sedar menyatakan dengan nada penuh kekesalan terhadap acara tarian tersebut dan membantah dengan setegas-tegasnya insiden tersebut kerana ianya jelas bertentangan dengan syariat Islam dan tidak bersesuaian untuk dipertontonkan di hadapan khalayak umum terutamanya apabila melibatkan pihak lelaki. Kami memohon ampun istighfar kepada Allah s.w.t dan bertaubat kepada-Nya atas kejadian tersebut.

ISMA-Mesir sebagai salah satu persatuan yang terlibat dalam penganjuran Festival Asean kali ini turut ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh komuniti pelajar Malaysia di Mesir kerana tidak dapat memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku dengan lebih awal atau ditukarkan ke acara lain sebelum sesi persembahan mereka. Kami hanya mengetahuinya sebaik sahaja mereka sudah melakukan persembahan di atas pentas. Ini adalah antara kelemahan dan kesalahan kami yang kurang peka terhadap perkara tersebut. Kami berazam dan berjanji akan lebih berhati-hati dan peka dengan kejadian seperti ini jika terlibat dalam penganjuran pada masa akan datang.

ISMA-Mesir juga telah menyatakan pendirian kami dalam mesyuarat post-mortem program baru-baru ini agar pihak Jawatankuasa penganjur lebih berhati-hati dan cermat dalam memastikan segala acara dan aktiviti seperti ini tidak lagi berlaku dalam Festival Asean yang akan datang.

ISMA-Mesir juga akan mengkaji semula penglibatan persatuan dalam sebarang aktiviti dan program yang tidak menepati visi dan objektif persatuan dan yang boleh memberi kesan negatif terhadap imej persatuan di Mesir.

ISMA-Mesir juga menegaskan akan menolak sebarang kerjasama yang tidak berpaksikan kepada syariat Islam dan bertentangan dengan visi dan objektif persatuan. ISMA-Mesir tidak mengenal sebarang kesefahaman yang boleh menggandaikan sebarang prinsip Islam yang mulia ini.

ISMA-Mesir secara terbuka dan penuh rendah diri berterima kasih dan menghargai segala nasihat serta kritikan yang berpijak atas hujah yang rasional oleh semua individu dan organisasi daripada komuniti pelajar Malaysia di Mesir dalam memastikan tidak berlaku sebarang perlanggaran syariat Allah dalam mana-mana aktiviti dan program anjuran mana-mana persatuan di bumi Mesir ini. Kami sentiasa mengalu-alukan pandangan bernas, nasihat membina dan kritikan yang bebas daripada emosi dan sentimen tertentu daripada mana-mana pihak demi kebaikan kita bersama.

Firman Allah s.w.t:

“Demi masa.Sesunggunya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan yang beramal salih, dan yang saling menasihati untuk kebenaran dan menasihati untuk kesabaran”

(Al-Asr:1-3)

Saranan ISMA-Mesir kepada pihak yang menuduh tanpa periksa dan cuba mengeksploitasi isu

ISMA-Mesir menasihati dan menyarankan kepada mana-mana pihak yang menuduh kami dengan tuduhan-tuduhan tertentu yang tidak tepat dan tanpa usul periksa serta cuba mengeksploitasi isu ini dengan tujuan-tujuan tertentu agar memohon istighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t serta menyatakan kekesalan terhadap tindakan mereka tersebut kepada umum.

Islam adalah agama yang menitik-beratkan terhadap nilai akhlaq dan etika dalam setiap aspek kehidupan dan terhadap semua individu termasuk para pendakwah. Tujuan pengutusan Rasulullah s.a.w itu sendiri adalah untuk menyempurnakan akhlaq manusia.

“Sesungguhnya tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan ketinggian akhlaq” (disahihkan oleh Al-Albani dalam sahihnya)

Bahkan, mereka yang bersungguh-sungguh menghiasi diri mereka dengan akhlaq di dunia ini, kelak di Akhirat mereka akan dimuliakan Allah s.w.t.

“Sesungguhnya orang yang paling dekat dengan aku pada hari kiamat ialah mereka yang paling berakhlaq mulia” (Diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi dan Ibn Hibban)

Isu dan gejala sebenar yang melanda umat Islam pada hari ini ialah isu semakin menipisnya akhlak di kalangan umat Islam secara keseluruhannya. Golongan yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam turut tidak terkecuali dalam hal ini kerana sepatutnya dakwah Islam ini disampaikan melalui medium dialog, pengajaran yang baik dan berhikmah serta berhujah dengan cara terbaik bukan dengan mengambil pendekatan terus menghukum dan menuduh tanpa usul periksa.

Lihatlah bagaimana uslub Al-Quran dalam menceritakan dakwah para rasul dan nabi dalam menyampaikan risalah Islam yang agung dan suci ini.

Firman Allah s.w.t yang menerangkan tentang uslub dialog dengan Ahli Kitab:

“Katakanlah (Muhammad), Wahai para Ahli Kitab, marilah kita bersama menuju kepada ‘kalimah’ (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, iaitu dengan sama-sama tidak menyembah kepada selain daripada Allah, dan kita tidak mengambil antara satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah”

(Al-Imran:64)

Firman Allah s.w.t yang mengajak agar menggunakan uslub yang berhikmah dan bijaksana dalam dakwah:

“Pergilah kamu berdua (Musa a.s dan Harun a.s) kepada Firaun, kerana sesungguhnya dia telah melampaui batas. Katakan (kamu berdua) kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut moga-moga dia sedar dan berasa takut”

(Toha:43-44)

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-Mu dengan penuh hikmah, dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”

(Al-Nahl:125)

“Janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab kecuali dengan cara yang terbaik melainkan kepada golongan yang zalim di antara mereka”

(Al-Ankabut:46)

Berhati-hatilah dalam melihat dan menilai sesuatu situasi atau insiden. Jangan terlalu dangkal dan gopoh untuk terus membuat kesimpulan mudah terhadap sesuatu isu. Takut-takut kita termasuk dalam golongan mereka yang berprasangka sesama muslim sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

“Berhati-hatilah anda dalam berprasangka. Sesungguhnya berprasangka itulah adalah seburuk-buruk perkataan”

(Muttafaq ‘alaih)

Rasulullah s.a.w turut memperingatkan tentang bahaya golongan yang suka menyebarkan berita tanpa mengusul periksa sesuatu perkara.

“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila dia menceritakan segala apa yang dia dengari”

(Riwayat Muslim)

Sesungguhnya setiap perkataan dan perbuatan kita akan dihisab oleh Allah s.w.t.Wallahu ‘alam.

“Tidak ada satu perkataan yang diucapkannya melainkan di sisinya ada Raqib dan Atid (yang mencatatnya)”

(Qaaf:18)

Kenyataan ini telah ditandatangani oleh Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir pada 18hb April 2009.

sumber isma-mesir.com

ditulis oleh Abd Rahman Mohd Tharin on 21 April 2009
categories: edit post

1 Responses to Kenyataan BKASM dan Kenyataan ISMA-MESIR

  1. kenyataan isma tersebut telah ditarik semula oleh mereka sebaik sahaja saya mengeluarkan kedua-dua kenyataan itu.

    pada saya sikap yang kurang rasional dpd shbt2 isma

     

Cinta Abadi

Daisypath Anniversary tickers

pengunjung dari semua tempat

pengunjung dari...

Islamic Calendar

Islamic Clock

jumlah pelawat

islamic software

.:ila klik untuk tempahan::.


Sila Copy dan Paste coding di atas ke laman anda untuk membuat pautan blog ini. Terima Kasih.

دار الإفتاء المصرية

blogger azhari

Komuniti Blogger Azhari