Matlamat tarbiyah Islamiyah itu perlu dibahagikan kepada dua iatu matlamat yang merangkumi perkara umum dan matlamatnya yang khusus. Matlamat tarbiyah Islamiyah yang umum ialah untuk menyelamatkan insan daripada azab Allah 'azza wajalla sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala yang bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, di mana bahan-hahan bakarannya itu ialah manusia dan batu (berhala)" (At Tahrim:6)
Manakala Insan yang diselamatkan dari azab Allah Taala itu ialah insan yang dapat menyempurnakan segala tanggungjawab ke arah mencapai tujuan dan matlamat ianya dijadikan oleh Allah Taala sebagaimana ia digariskan di bawah :
1]. Beribadat kepada Allah Taala Yang Maha Esa mengikut syariat yang diwujudkan oleh Allah Taala. Firman Allah Taala yang bermaksud,"...Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melaikan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". (Az Zaariyat:56). Hendaklah beribadat kepada Allah mengikut syariat yang diturunkan oleh-Nya melalui lisan Nabi Muhammad S.A.W yang menuntut supaya orang-orang Muslim itu memiliki beberapa sifat yang penting antaranya ialah al Iman, al Islam, al lhsan, keadilan, al amru bil ma'ruf'wan nahyu 'anil mungkar, al jihad fisabilillah, manis tutur kata, pekerti mulia dan beberapa peradaban serta amalan yang lain.
2]. Menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini. Allah taala telah menyatakan bahawa antara tujuan manusia diciptakan ialah untuk menjadikannya khalifah di bumi ini, firman Allah Taala yang bermaksud,"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi" (Al Baqarah:30). Ekoran dari penciptaan manusia oleh Allah, maka ia bertanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan dengan segala perancangan dan pembangunan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.
3]. Berkenal-kenalan dan berbaik-baik di kalangan manusia. Allah Taala berfirman sebagaimana maksudnya,"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersUku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang mempunyai kelebihan dari aspek keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)" (Al Hujurat:13)
Allah telah menyatakan bahawa pada asalnya ia menciptakan manusia itu daripada lelaki dan perempuan (Adam dan Hawa). Kemudian Dia mengembang biakkan keturunan manusia sehingga menjadi berbagai-bagai bangsa, puak dan suku kaum. Tujuannya ialah supaya manusia itu berkenal-kenalan dan berbaik-baik di antara satu sama lain. Manakala insan yang paling mulia sekali di sisinya ialah yang paling bertakwa kepadanya. Dan sesungguhnya Dia amat mengetahui dan amat mengenal siapakah yang paling takut kepada-Nya. Oleh kerana itu, manusia hendaklah berkasih sayang sesama mereka, bantu membantu antara satu sama lain dan seterusnya ingat mengingati dan pesan memesan sesama mereka dalam perkara kebaikan.
4]. Memimpin dan memerintah dunia ini. Firman Allah Taala yang bermaksud,"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang Kuasa pemerintahan dibumi" (An Nur:55).
Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa Allah telah menjanjikan golongan beriman dan beramal soleh dari kalangan manusia akan dikurniakan kuasa pemerintahan di atas muka bumi ini. Pada waktu itu manusia dapat menjalankan urusan harian dan berbakti kepada Allah dalam suasana yang aman damai.
5]. Menjalankan syariat Allah Taala di bumi ini. Matlamat dan tujuan seterusnya manusia dijadikan Allah ialah untuk menjalankan syariat Allah di bumi ini. Ini merupakan matlamat yang sangal besar dan masyhur. Ia merupakan inti sari kepada segala matlamat yang lain.
Banyak ayat-ayat Al Quran Al Karim yang menerangkan kepada kita tentang perkara-perkara ini. Antaranya firman Allah Taala yang bermaksud,"Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutiah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara yang benar)" (Al Jaasiyah:18)
Di dalam surah Al Maidah ayat 49, Allah Taala berfirman yang bermaksud,"Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka..." (Al-Ma'idah:49) - Akhbar Harakah
Di sini kita sedia memahami bahawa matlamat utama tarbiyah Islamiyah ialah melahirkan perhambaan manusia kepada Allah sepenuhnya. Oleh itu kita perlulah bermotivasi tinggi untuk mendidik dan dididik kerana kitalah sebenarnya mengajak manusia kepada Allah maka kita memerlukan ciri-ciri yang dikehendaki oleh-Nya. Janganlah kita gopoh atau lalai kerana dakwah Islamiyah memerlukan nafas yang panjang. Ia bukan bulan dicapai sehari dua, setahun atau beberapa tahun kemudiannya, tetapi memakan masa yang begitu lama sehinggalah hari kiamat.
Kita juga menyakini bahawa segala sumbangan dan kerja mengislah masyarakat akan di nilai oleh Allah Taala. Inilah bekalan kita untuk kehidupan di negeri akhirat nanti. Firman Allah bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya atas segala apa yang kamu kerjakan" (Surah Al Hasyr: 18)
Oleh : Dato' Harun Taib
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
ditulis oleh
Abd Rahman Mohd Tharin
on
21 May 2011
tq for the post sayang